CAP gesa SPRM siasat sisa binaan Singapura dibuang di Pontian

Tarikh: 10/09/2026
img

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kegiatan pembuangan sisa binaan secara haram di Pontian, Johor yang didakwa berasal dari Singapura.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata siasatan perlu dilakukan berikutan dakwaan sejumlah besar lori mengangkut dan melupuskan sisa binaan dalam kuantiti banyak di lokasi yang tidak dikhaskan, sekali gus berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Pihak berkuasa Singapura dan Malaysia juga perlu menjelaskan bagaimana lori berkenaan boleh melepasi pusat pemeriksaan tanpa dikesan, selain mengambil langkah bagi memastikan kejadian tidak berulang.

Katanya, berdasarkan laporan media, penduduk beberapa kampung di Pontian terpaksa berdepan gangguan bunyi bising pada waktu malam akibat konvoi lori yang melalui jalan batu kerikil sempit untuk membuang sisa binaan.

"Sisa berkenaan termasuk simen, serpihan jubin dan peralatan binaan terpakai yang dipercayai oleh pihak berkuasa Johor berasal dari Singapura.

"Pada hari tertentu, sebanyak 50 lori memasuki tapak itu dan kegiatan ini sudah berlarutan sejak awal 2025.

"Selain pencemaran bunyi, penduduk juga mungkin terdedah kepada bahaya asbestos yang dipercayai terkandung dalam sisa binaan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohideen berkata, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura sebelum ini mendakwa republik itu tidak membenarkan sisa pembinaan dan perobohan (C&D) dieksport bagi tujuan pelupusan.

"Namun, perbincangan dengan pihak berkuasa pengurusan sisa negara, SWCorp, mengenal pasti sembilan syarikat yang dikaitkan dengan pembuangan haram sisa binaan di Pontian itu sebagai syarikat Malaysia.

"Bagaimanakah sisa binaan boleh melepasi sempadan sedangkan Singapura mempunyai undang-undang dan peraturan yang mengawal selia eksport bahan terpakai dan sisa?


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel