'Bikini emas', rampasan harta rasuah di rumah ahli politik lambang kerakusan elit politik

Tarikh: 03/07/2026
img

'Bikini emas' mungkin hanya terbayang ketika kita menyusur sejarah Babylon, kota purba di bumi Iraq yang turut menjadi lambang kemewahan tamadun manusia. Di Ur umpamanya, ahli arkeologi menemukan makam Ratu Puabi bersama mahkota, rantai dan hiasan kepala daripada emas berusia lebih 4,500 tahun. Ribuan tahun, ranah antara dua sungai masyhur dalam peradaban manusia, Sungai Tigris dan Euphrates memang mengalirkan bahasa kekayaan.

Namun, siapa sangka kisah bikini emas muncul bukan dalam novel sejarah Babylon mahupun di layar perak bikinan Hollywood, sebaliknya dalam kempen antirasuah Iraq apabila pasukan elit Counter Terrorism Service (CTS) di bawah kempen Perdana Menteri, Ali al-Zaidi yang mengambil alih kerajaan pada Mei lalu, melancarkan serbuan di Green Zone Baghdad dan menahan 47 individu termasuk timbalan menteri, ahli Parlimen, ahli politik, pegawai tinggi kerajaan dan ahli perniagaan.

Agensi Berita Iraq yang memetik sumber pegawai kanan kerajaan mendedahkan 15 nama yang ditahan termasuk yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Mohammed Shia Al Sudani.

Antara didakwa ditahan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Pengagihan Minyak, Ali Maarij; Pemimpin Pakatan Azm, Muthanna al-Samarrai bersama ahli politik di bawahnya; ahli perniagaan mewakili masyarakat Syiah dan Sunni serta penasihat Al Sudani.

Dan dalam banyak nama itu, antara yang turut ditahan ialah ahli Parlimen wanita, Hind Al Abbasi. Dan ulangan kisah Babylon pun bermula.

Dalam rampasan yang semakin tular di media sosial itu - selain wang bernilai AS$57 juta (RM232.8 juta) dan 27 kilogram emas - ialah bikini yang diperbuat daripada emas. Meskipun berita berkenaan belum disahkan mana-mana media antarabangsa, jumlah wang dan emas itu sudah memadai untuk kita ternganga mulut.

Jumlah rampasan keseluruhan ialah kira-kira AS$86 juta (RM351.3 juta) wang tunai, 70 hartanah, 21 kenderaan dan emas dalam siasatan berkaitan rangkaian Kementerian Minyak.

Ini bukan lagi kisah kegemilangan tamadun, tetapi ironi bagaimana kekayaan negara boleh bertukar menjadi lambang kerakusan segelintir elit di sebuah negara yang didera peperangan puluhan tahun dan menyaksikan keganasan luar biasa termasuk Daesh.

Kempen antirasuah kerajaan baharu Iraq itu kini menjadi antara tindakan paling agresif pasca-2003. Ia bermula dengan siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri Minyak, Adnan al-Jumaili, yang ditahan pada 30 Mei, sebelum berkembang kepada penahanan puluhan tokoh politik, ahli Parlimen, pegawai tinggi dan mereka yang dikaitkan dengan kontrak kerajaan.

Operasi 28 Jun lalu berlaku di Green Zone Baghdad, iaitu kawasan berkubu menempatkan bangunan kerajaan, Parlimen, kedutaan asing dan kediaman elit politik. Sejak kejatuhan Saddam Hussein, Green Zone bukan sekadar peta keselamatan, sebaliknya peti besi yang menyimpan kekayaan yang hanya dikongsi ahli politik, birokrat dan rangkaian korporat yang bergantung kepada kontrak negara berlegar dalam dunia sama.

Sudah tentu Malaysia bukan Iraq kerana kita tidak hidup dalam bayang diktator, perang, penjarahan kuasa luar, keruntuhan institusi dan keganasan seperti Baghdad pasca-2003. Namun, kita pernah melihat rampasan wang tunai, barang kemas dan emas dalam serbuan dilakukan baik oleh polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini bermakna kita tidak boleh terlalu selesa kerana kita pernah dan sedang melalui episod rasuah berskala besar menjadikan nama negara disebut di pentas dunia, sedangkan rakyat terus dihimpit bebanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Kita perlu belajar - tidak kira daripada pemimpin paling atas, menteri, pegawai kanan kerajaan, penjawat awam, polis, SPRM dan agensi penguat kuasa hingga ahli korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wartawan dan orang awam - rasuah tidak pernah bermula dengan peti besi berisi wang, jongkong emas atau mungkin bikini diperbuat daripada emas.

Ia bermula dengan ada yang memberi dan menerima serta sebahagian pula menutup mata. Sudah tentu ia memerlukan keberanian dan kekuatan luar biasa untuk berdepan dengan rasuah baik dalam bentuk godaan mahupun ketakutan untuk mendedahkannya.

Di bumi Mesopotamia, emas yang dulu menjadi tanda ketinggian peradaban, kini muncul dalam berita dan spekulasi serbuan pihak berkuasa yang melambangkan persekongkolan golonga elit politik dan korporat dimudah cara pegawai kanan.

Kita perlu hati-hati kerana tidak mustahil 'bikini emas' boleh ditemukan dalam antara ikatan wang dan jongkong emas serta perhiasan dalam rampasan pihak berkuasa di negara ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel