Bicara kes pecah amanah RM3 juta bekas Panglima ATM bermula 26 Julai 2027

Tarikh: 10/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, hari ini menetapkan tempoh 15 hari bermula 26 Julai tahun depan untuk perbicaraan kes bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang berdepan empat pertuduhan termasuk menggunakan kedudukan dan pecah amanah wang RM3 juta.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 29 Julai, 9 hingga 12 Ogos, 13 hingga 15 September serta 27 hingga 30 September 2027 selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan pihaknya dimaklumkan bahawa Mohd Nizam berhasrat untuk menghantar representasi.

Sementara itu, peguam Abdul Aziz Hamzah, berkata pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh seminggu, namun tidak memperincikan tujuan representasi terbabit.

"Kami juga akan memfailkan pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Kami mohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi mendengar keputusan berhubung representasi berkenaan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan representasi berkenaan.

Mohd Nizam, 59, didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM267,481.90 bagi dirinya sendiri, dengan melantik Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja "Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025" bernilai RM468,000.

Tertuduh juga melantik Sinar Raudhah Global bagi menjalankan kerja "Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025" bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global untuk menjalankan kerja "Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025" bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Mohd Nizam juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM285,000 bagi dirinya, dengan melantik QMZ Resources untuk menjalankan kerja "Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025" bernilai RM600,000 dan melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja "Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025" bernilai RM1,725,000 kepada TKAT.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT, di lokasi sama, pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan akan dijalankan olehnya, di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Sumber : Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel