BH nadi penyampaian agenda antirasuah negara - SPRM

Tarikh: 02/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Kerjasama berterusan dan sokongan yang diberikan BH terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu badan antirasuah itu dalam usaha memperkukuh integriti, meningkatkan kesedaran masyarakat serta membudayakan penolakan terhadap rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata BH bukan sekadar organisasi media, sebaliknya nadi dalam penyampaian agenda antirasuah negara dan pendidikan integriti masyarakat.

Beliau berkata, peranan akhbar itu membantu SPRM khususnya untuk menyebarluaskan kefahaman masyarakat dalam isu antirasuah serta integriti amat dihargai.

"BH memberi pelaporan yang adil dan bermanfaat serta membantu membina keyakinan masyarakat di dalam dan luar negara dengan amat berkesan, terutama bagi mencapai sasaran tangga ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada tahun 2033.

"SPRM melihat BH sebagai antara rakan strategik yang paling tepat untuk dijadikan sumber rujukan utama masyarakat dalam mendapatkan sebarang maklumat atau berita berkaitan SPRM dan juga isu-isu antirasuah mahupun pengurusan tatakelola.

"Peranan media yang profesional seperti BH amat penting dalam membentuk persepsi masyarakat berasaskan fakta, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini," katanya di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, hubungan erat yang terjalin antara SPRM dan BH selama ini membuktikan media bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai berita, malah menjadi rakan penting dalam menjayakan agenda nasional untuk melahirkan masyarakat yang berintegriti dan berakauntabiliti.

"BH menjadi media utama negara dalam mengekalkan kecemerlangan sebagai institusi media yang diyakini rakyat, di samping memperkukuh kerjasama strategik bersama SPRM bagi menyebarluaskan mesej integriti demi kemakmuran dan kesejahteraan negara," katanya.

Abd Halim turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga BH atas dedikasi serta komitmen yang tidak pernah luntur dalam menyampaikan laporan yang tepat, berimbang dan beretika kepada rakyat.

"Selama hampir tujuh dekad, BH bukan sekadar sebuah organisasi media, malah menjadi institusi kewartawanan yang dihormati dan diyakini.

"Peranan BH dalam menyampaikan maklumat yang sahih, mendidik masyarakat serta menjadi jambatan antara kerajaan, institusi dan rakyat amat besar nilainya dalam membina sebuah negara yang berinformasi dan berintegriti," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada BH sebagai sebuah organisasi media yang berkaliber, berwibawa dan sentiasa menjunjung tinggi etika kewartawanan.

SUMBER - Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel