KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000 berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengesahkan pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara, bulan ini.
Md Yunos berkata, pihaknya memohon kepada mahkamah tarikh pengurusan kes untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula tiga pertuduhan ke atas anak guamnya.
"Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya," katanya kepada media selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail memaklumkan kepada Rosli bahawa pihaknya mengemukakan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan menerusi e-mel.
"Pihak kami akan mengemukakan 20 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan nanti. Kami mohon tarikh perbicaraan ditetapkan," katanya.
Md Yunos mengesahkan menerima dokumen itu dan memohon tarikh pengurusan kes untuk pihaknya mengemukakan representasi bagi mengkaji kesemua pertuduhan.
Rosli kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari iaitu pada 5 hingga 8 Mei, 26 hingga 29 Mei 2025 dan 23 hingga 26 Jun 2025.
Sayed Amir Muzzakkir, 42, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas di sini, pada 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.
Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan sama di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang, awal Disember 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian