Bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, suspek dalam kes rasuah

Tarikh: 02/09/2024
img

SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dikenal pasti sebagai suspek dalam kes rasuah di mana bekas menantunya didakwa menerima layanan istimewa dengan mendapat pekerjaan dengan sebuah syarikat penerbangan.

Layanan istimewa itu sebagai balasan kerana mengatur pelantikan penting dalam kerajaan untuk ahli politik yang mengasaskan syarikat penerbangan berkenaan.

Pendakwa Raya Daerah Jeonju mengetuai siasatan terhadap kemungkinan pembabitan Jae-in, seperti yang dinyatakan dalam waran geledah pada 30 Ogos di rumah anak perempuannya, Moon Da-hye.

Serbuan dibuat atas aduan yang difailkan empat tahun lalu mengenai pengambilan bekas menantu Jae-in, yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Seo, di Thai Eastar Jet. Seo bagaimanapun sudah bercerai dengan Da-hye.

Siasatan itu memberi tumpuan kepada kemungkinan kaitan antara pekerjaan Seo dan pelantikan bekas ahli parlimen Lee Sang-jik sebagai ketua Agensi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Startup Korea, atau Kosme.

Parti People Power (PPP) dan kumpulan Justice People, memfailkan empat aduan antara September 2020 dan April 2021.

Pada September 2020, PPP, yang ketika itu adalah parti pembangkang utama, memfailkan aduan rasuah kepada pendakwa raya berhubung pelantikan Seo sebagai pengarah eksekutif Thai Eastar Jet.

Thai Eastar Jet adalah sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang diasaskan oleh Sang-jik, seorang ahli Parlimen daripada Parti Demokratik, yang ketika itu berkuasa dan pengasas syarikat penerbangan bajet Korea Selatan, Eastar Jet.

Sang-jik dilantik sebagai presiden Kosme pada Mac 2018, beberapa bulan sebelum Seo menyertai unit Thai Eastar pada Julai.

Seo yang kurang berpengalaman dalam industri penerbangan, ditambah dengan masalah kewangan syarikat, menimbulkan syak wasangka mengenai pembabitan pejabat presiden dalam pelantikannya.

Pendakwa raya menganggarkan bahawa Seo menerima jumlah gaji keseluruhan 223 juta won (RM718,924) dan perbelanjaan perpindahan ke Thailand antara Julai 2018 dan April 2020, yang dianggap sebagai rasuah kepada Jae-in.

Sebelum ini, pendakwa raya menahan bekas setiausaha kanan presiden Cho Hyun-ock, atas tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dengan kes itu, dengan menyoal beberapa bekas pegawai pejabat presiden yang lain.

Bekas ketua staf di bawah pentadbiran Jae-in, Im Jong-seok, disoal siasat pada 19 Ogos lalu.

Pendakwa raya menyiasat sama ada beliau memainkan sebarang peranan dalam pelantikan Sang-jik sebagai ketua agensi pemula pada tahun 2018.

Sementara itu, 37 Ahli Parlimen Parti Demokratik, yang kebanyakan adalah bekas pembantu dari pentadbiran terdahulu mengutuk tindakan pendakwaan yang menamakan Jae-in sebagai suspek.

Dalam satu sidang akhbar di Dewan Negara hari ini, mereka memberi amaran bahawa akibat utama daripada dendam politik itu adalah kejatuhan kerajaan semasa dan pendakwaan.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel