Bekas pengurus kilang simen disyaki minta suapan RM100,000 ditahan

Tarikh: 26/02/2025
img

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengurus kilang simen di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000, petang semalam.

Suspek berusia 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

Sumber berkata, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan mempercepatkan bayaran kerja pembersihan dan membaik pulih serta mendapatkan projek di kilang tempatnya bekerja.

"Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2020 dengan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat kejuruteraan melalui pendepositan wang ke dalam akaun miliknya.

"Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya," katanya hari ini.

Menurutnya, perintah reman enam hari sehingga 2 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


MACC FM
My Anti-Corruption Channel