KUALA LUMPUR: Bekas pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang sebelum ini disiasat susulan kes rasuah berkait projek mesra rakyat dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.
SPRM dalam jemputan medianya memaklumkan lelaki berkenaan akan didakwa pada jam 8.30 pagi di mahkamah berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh itu direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 9.30 malam pada 5 Mac tahun lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka disyaki melakukan perbuatan itu pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta, membabitkan pembekalan 'interactive smart board' kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, SPRM turut memaklumkan seorang pakar pelaburan dan kewangan Islam bergelar Tan Sri antara dua pengarah syarikat yang dijangka turut didakwa di mahkamah sama, esok.
Lelaki bergelar Tan Sri itu dan seorang lagi individu akan didakwa pagi esok.
Pada Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang disyaki menipu wang pelabur membabitkan kerugian lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, seorang wanita yang juga ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama.
Sumber : Berita Harian Online