Bekas pembantu Teresa Kok hadir di mahkamah untuk pertuduhan kes rasuah

Tarikh: 11/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes rasuah membabitkan perolehan papan pintar.

Lelaki itu yang memakai kemeja putih tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 7.30 pagi tadi.

Berdasarkan sistem mahkamah, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.

Mac tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya menahan reman bekas pembantu khas Ahli Parlimen itu bagi membantu siasatan berhubung perolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 14 November 2024.

Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh itu direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel