KUALA LUMPUR: Bekas pembantu khas kepada Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu serta menerima suapan RM500,000 berhubung perolehan papan pintar, dua tahun lepas.
Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
"Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah," katanya yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kemeja berwarna putih.
Mengikut pertuduhan pertama, Teoh didakwa memperdayakan Kok, 62, sehingga mendorong Ahli Parlimen itu mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan papan pintar interaktif, sedangkan tertuduh tahu bahawa sebenarnya terdapat 16 sekolah yang memohon.
Tindakan tertuduh itu didakwa mendorong Kok memberikan persetujuan bagi permohonan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana beliau tidak akan memberikan persetujuan itu sekiranya tidak diperdayakan.
Teoh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Sri Desa Entrepreneurs Park, Jalan 1/116B, Off Jalan Kuchai Lama di sini, pada Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama di sini, pada 12 Ogos 2024.
Suapan itu sebagai upah kerana membantu lelaki berkenaan mendapatkan sumbangan bagi pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan untuk 16 sekolah di parlimen berkenaan daripada syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sumber : Berita Harian Online