MELAKA: Bekas pegawai kanan di Jabatan Ketua Menteri Melaka direman lima hari selepas disyaki terbabit kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah tahun lalu.
Perintah reman bermula hari ini hingga 8 Februari dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek, 42, yang pernah bertugas sebagai ketua penolong setiausaha (KPS) di jabatan itu ditahan kira-kira jam 4.50 petang semalam di pejabat SPRM Melaka ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek disyaki menyalah guna kuasa dan kedudukannya di jabatan berkenaan dengan meminta sumbangan bagi Program Hari Keluarga / Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000 sedangkan program itu tidak wujud.
"Wang diperoleh dipercayai digunakan untuk kegunaan peribadinya.
"Selain itu, suspek juga secara tidak jujur didakwa menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 petugas di bawah seliaannya untuk kegunaan peribadinya juga tahun lalu," katanya.