KUALA LUMPUR: Bekas menteri yang disiasat kes rasuah membabitkan kira-kira RM5 juta dan sebuah kereta mewah jenis Lamborghini, hadir semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung memberi keterangan.
Kenderaan berwarna putih membawa kenamaan terkenal itu dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 10.01 pagi tadi.
Wartawan yang berada di hadapan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya itu turut cuba mendapatkan reaksinya tetapi tidak berjaya.
Semalam individu berkenaan dilaporkan berada di Ibu Pejabat SPRM lebih tujuh jam untuk disoal siasat berhubung siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan projek papan iklan serta urusan pemindahan tanah di ibu negara.
Dia dipercayai meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada pukul 5.50 petang, selepas tiba sekitar pukul 10.30 pagi.
Semalam, BH melaporkan, seorang bekas menteri memberi keterangan kepada SPRM berhubung wang rasuah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
BH difahamkan, menteri itu menerima rasuah berkaitan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara, manakala kereta mewah diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
BH sebelum ini melaporkan, seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era COVID-19 kini berada dalam fokus siasatan terbaharu SPRM.
Bekas pemimpin terkenal itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu, kini turut berada dalam radar siasatan ekoran dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat dalam sebuah kementerian.
BH difahamkan, bekas pemimpin terkenal itu yang pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu, kini turut berada dalam radar siasatan ekoran dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat dalam sebuah kementerian.
Siasatan SPRM ketika ini membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.
Difahamkan, tindakan itu mempunyai unsur-unsur rasuah dan penyelewengan, malah maklumat terbaharu yang dilaporkan oleh orang awam menyebabkan SPRM membuka kertas siasatan, biarpun bekas pemimpin itu sudah lama tidak berkhidmat dalam kerajaan.
Sumber : Berita Harian Online