KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan wang AS$20,000 dan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lalu.
Mohd Razali, 60, yang tiba di mahkamah pada jam 8.35 pagi bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas ketiga-tiga tuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
"Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya.
Mohd Razali didakwa dengan tuduhan pertama, iaitu secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini, antara Ogos dan November 2024.
Wang itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Tuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terima suapan beli tiket penerbangan isteri
Mohd Razali juga didakwa dengan tuduhan kedua, iaitu sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM, telah menerima untuk isterinya Datin Azarina Bakia, 59, iaitu pembayaran berjumlah RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol tanpa balasan daripada individu sama, yang mana tertuduh ketahui ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 15 November 2024, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beli tiket penerbangan KL-Estonia
Sementara itu, bagi tuduhan ketiga pula, Mohd Razali didakwa menerima untuk isterinya RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Estonia tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq, yang mana tertuduh ketahui ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 28 April 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.
Suzana kemudian membenarkan Mohd Razali diikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM50,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserah simpan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah turut menetapkan pada 16 Mac ini bagi tarikh sebutan kes.
Pendakwa Raya mohon jaminan RM200,000
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM200,000 terhadap tertuduh kerana tuduhan yang dikenakan adalah serius.
Chin How berkata, walaupun tertuduh dikenakan dua tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tetapi ada satu kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Seksyen 16(a)(B).
"Maka peruntukan terpakai adalah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah. Mengambil kira amaun dua tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan membabitkan tiket kapal terbang, sekiranya kita mengambil semua amaun hampir RM200,000.
"Memandangkan kesalahan dan serius dan mengambil kira sensitiviti serta sifat tuduhan, begitu juga jawatan tertuduh, kami memohon jumlah jaminan adalah sebanyak RM200,000.
"Syarat jaminan supaya pasport diserah simpan oleh mahkamah dikira sebagai sekuriti tambahan kerana kemungkinan terdapat risiko tertuduh melarikan diri kerana dia baru bersara dan kerap ke luar negara.
"Dengan itu, permohonan kami supaya jumlah jaminan RM200,000 dan pasport diserah simpan mahkamah adalah munasabah," katanya.
Peguam bela kata Razali hanya bersara Disember ini
Sementara itu, ketika berhujah bagi mengurangkan jumlah jaminan, peguam bela Mohd Razali, Datuk Geethan Ram Vincent berkata hakikat bahawa beliau bekerjasama dengan pihak berkuasa patut diambil kira bagi mengurangkan jumlah jaminan.
Menurut Geethan, jumlah amaun yang terbabit dalam tuduhan adalah RM142,000.
Beliau berkata, amaun jaminan tidak sepatutnya diukur dengan jumlah amaun dalam pertuduhan , dan mahkamah perlu menimbangkan sama ada ia boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
"Kenyataan beliau sudah bersara adalah tidak tepat, beliau hanya akan pencen pada Disember ini. Program yang didakwa beliau sering hadiri adakah berkait dengan tugas rasmi⦠apabila sudah hendak bersara ini, maka beliau tidak lagi sering keluar negara," katanya.
Sumber : Berita Harian Online