KUANTAN: Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara tahun 2016 hingga 2023.
Keputusan itu dibuat Hakim Sazlina Safie selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56.
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi semua 46 pertuduhan," katanya.
"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan.
"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak," katanya ketika membacakan penghakimannya hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, susulan permohonan yang dikemukakan peguamnya, Datuk M Athimulan.
Mahkamah kemudian memerintahkan Mohd Azhar membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000.
Mohd Azhar yang berpakaian kemeja merah jambu dan blazer kelabu, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.
Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan menerima wang melalui pindahan dalam talian ke akaun banknya antara Mac 2019 hingga Januari 2023.
Pada 29 Jun tahun ini, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam prosiding itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak dan Ifa Sirhu Samsudin manakala Mohd Azhar diwakili Athimulan dan Datuk Bob Arumugam.
Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan mitigasi, Athimulan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukannya penjara, dengan alasan sabitan itu sudah membawa kesan serius terhadap anak guamnya.
"Anak guam saya berdepan risiko dibuang kerja daripada pasukan polis, kehilangan pencen serta faedah lain yang dikumpulkan sepanjang 33 tahun perkhidmatannya, selain reputasi dan kedudukan sosialnya terjejas.
"Sebagai penjawat awam dan pegawai polis, beliau berisiko kehilangan segala-galanya," katanya.
Athimulan berkata, jumlah wang yang terbabit bukanlah sehingga jutaan ringgit, selain keterangan menunjukkan wang berkenaan digunakan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan di Temerloh.
Beliau berkata, hukuman denda yang bersesuaian memadai sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.
Bagaimanapun, Radzi Shah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, termasuk penjara dan denda maksimum, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kedudukan Mohd Azhar sebagai pegawai kanan polis.
"Tertuduh yang ketika itu adalah Ketua Polis Daerah Temerloh memegang jawatan tinggi dalam hierarki pasukan polis, namun menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
"Kesalahan itu membabitkan 46 pertuduhan yang dilakukan dalam tempoh hampir empat tahun. "Perbuatan tertuduh memberi implikasi serius terhadap reputasi pasukan polis pada pandangan masyarakat, sekali gus mewajarkan hukuman berbentuk pencegahan," katanya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Athimulan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan memaklumkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan pada minggu ini.
Sumber : Berita Harian Online