KUANTAN: Bekas Ketua Balai Polis Cherating didenda RM20,000 selepas menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap 40 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,850 antara Januari 2021 dan September 2022 lalu.
Hakim Sazlina Safie menetapkan tertuduh Anuar Yaakob didenda RM500 terhadap setiap pertuduhan dan jika gagal boleh dipenjara 40 bulan.
Mengikut pertuduhan, anggota polis berusia 56 tahun itu menerima antara RM150 dan RM1,000 daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Semua suapan diterima melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun bank tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Kuantan ketika Anuar bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan pangkat Sarjan dan Ketua Balai Polis Cherating sebagai Sarjan Mejar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun serta denda atau kedua-duanya terhadap setiap pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.
Tertuduh dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 24 Ogos 2023 dengan 98 pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhannya RM31,400.
Susulan tindakan anggota polis terbabit menukar pengakuan bersalah itu, pihak pendakwa memohon mahkamah menggugurkan baki 58 lagi pertuduhan.
Anuar membayar denda ditetapkan.
Sumber :Berita Harian Online