Bekas kakitangan badan berkanun direman seleweng dana bantuan zakat

Tarikh: 21/10/2025
img

KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan sebuah badan berkanun direman empat hari kerana disyaki terbabit rasuah sindiket penyelewengan dana bantuan zakat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur memaklumkan penyelewengan itu membabitkan peruntukan wang zakat terbabit bernilai RM120,000 diberikan kepada 28 pemohon yang tidak layak.

Majistret Farah Nabihah Muhammad mengeluarkan perintah reman selama empat hari sehingga 22 Oktober ini terhadap suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang pagi tadi.

Suspek wanita berusia kira-kira 30-an itu ditahan sekitar jam 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

BH difahamkan, suspek disyaki terbabit dalam rasuah membabitkan sindiket penyelewengan dana bantuan yang membabitkan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000 bagi 28 pemohon tidak layak.

Sumber berkata, suspek juga disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM2,500 pada Mac lalu.

"Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya," kata sumber.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel