KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan syarikat untuk projek dan harga pasaran 24 lot tanah, 12 tahun lalu.
Mohd Zaid, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
"Tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya yang berpakaian kemeja putih dan berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek 'The Proposed Commercial Development On FELDA Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur', sedangkan beliau mengetahui syarikat itu hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner.
Perdayaan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan syarikat berkenaan sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek terbabit.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian harga pasaran 24 lot tanah milik FELDA yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah berjumlah RM330.96 juta, sedangkan beliau mengetahui jumlah sebenar dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian indikatif (indicative valuation) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) terhadap 24 lot tanah terbabit bernilai RM180 juta, sedangkan beliau mengetahui JPPH tidak pernah memberikan penilaian indikatif berkenaan kepada FIC.
Perdayaan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FIC menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn Bhd berhubung cadangan Minimum Guaranteed Return (MGR) sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value (GDV), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park di sini, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Abd Razak, menawarkan ikat jamin berjumlah RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Beliau turut memohon supaya Mohd Zaid diwajib melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Bagaimanapun peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh, memohon jumlah ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Katanya, Mohd Zaid juga pernah menjadi saksi pendakwaan bagi pihak SPRM sebanyak dua kali, termasuk dalam kes membabitkan bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Isa Samad.
"Anak guam saya juga dijadual mengerjakan umrah dari 4 hingga 14 November depan, dan bayaran perjalanan berkenaan sudah dibuat sejak Julai lalu.
"Sehubungan itu, saya memohon supaya penyerahan pasport dibuat selepas Mohd Zaid pulang daripada mengerjakan umrah.
"Saya memohon supaya jumlah ikat jamin ditetapkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau dua penjamin dikenakan sebagai ganti jumlah jaminan yang tinggi," katanya.
Rosli kemudian menetapkan jumlah ikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Hakim turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, dan tertuduh diwajib melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Oktober depan.
Sumber : Berita Harian Online