'Beberapa kementerian dalam radar SPRM' - Azam

Tarikh: 22/01/2026
img

KOTA BHARU: Beberapa kementerian kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tanpa mendedahkan kementerian-kementerian itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kementerian berkenaan dikesan mempunyai isu berkaitan perolehan.

Beliau berkata, isu berkaitan perolehan yang membabitkan ketirisan adalah penting.

"Saya akan lakukan tindakan agresif ini kerana ia adalah tanggungjawab agensi (SPRM) untuk menyelamatkan duit negara.

"Fasa 'cuci pinggan mangkuk' SPRM ini kami lakukan sejak 2009 lagi dengan melakukan pembersihan (rasuah)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Grand Riverview Hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi Kementerian Pertahanan pintu sudah dibuka oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya menyambut baik dan hantar pegawai ke sana. Kami hanya nak membantu mengenai isu perolehan membabitkan ketirisan," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel