Bayaran kepada Guan Eng, dibuat secara tunai, berperingkat, bukannya pindahan akaun bank - Saksi SPRM

Tarikh: 07/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes rasuah projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang, memberitahu Mahkamah Sesyen, hari ini pembayaran RM3.3 juta daripada bekas pengarah syarikat kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dibuat secara tunai dan berperingkat, bukannya melalui pindahan wang ke akaun bank.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, yang memberikan keterangan bagaimanapun menegaskan ketiadaan jejak aliran wang dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Penasihat DAP itu tidak menjejaskan integriti siasatan.

Beliau yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada sesi pemeriksaan utama menjelaskan, ia adalah kerana keterangan saksi utama dalam kes itu, iaitu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli turut disokong saksi lain.

"Dalam siasatan saya, saya mendapati pembayaran wang kepada tertuduh berjumlah RM3.3 juta dibuat secara berperingkat secara tunai dan bukan dimasukkan atau dipindahkan dalam akaun.

"Kenyataan saksi utama iaitu Zarul Ahmad juga disokong oleh keterangan saksi lain yang mengesahkan terdapat pengeluaran wang dan pertemuan di antara Zarul Ahmad dan Guan Eng di pejabat beliau.

"Selain itu, saya juga menyiasat berdasarkan dokumen yang saya peroleh yang mengesahkan terdapat pertemuan di dalam kereta di antara Zarul Ahmad, Guan Eng dan G Gnanaraja (ahli perniagaan) yang disokong laporan forensik melalui gambar di dalam kereta dan rumah.

"Bagi saya, siasatan saya mendapati semua duit diberikan adalah tunai. Jadi kurang bijak jika dia masukkan duit tunai dalam akaun dia sendiri," katanya.

Zulhilmi berkata, kesemua wang itu diserahkan kepada Guan Eng secara berperingkat melalui orang tengah, iaitu Gnanaraja.

Saksi pendakwaan ke-38 itu memberikan keterangan terhadap Guan Eng, 65, yang didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Sementara itu, Zulhilmi turut disoal Wan Shaharuddin, mengapa SPRM masih memilih Gnanaraja sebagai saksi dalam kes itu walaupun pihak pembelaan menyatakan terdapat percanggahan kenyataannya dengan Zarul Ahmad.

Menjawab persoalan itu, saksi berkata, beliau mengambil kira kenyataan Gnanaraja berkaitan pemberian wang RM2 juta kepada tertuduh yang mana kenyataan berkenaan disokong oleh keterangan Zarul Ahmad.

"Kita boleh lihat dalam kenyataan Zarul Ahmad pada hujung 2019, beliau mengakui dan mengesahkan terdapat pemberian empat beg masing-masing berisi wang RM1 juta kepada Gnanaraja.

"Saya juga mengambil kira keterangan yang direkodkan Gnanaraja pada sekitar pertengahan 2020 yang mana ia adalah selari, iaitu Gnanaraja mengaku menerima empat beg masing-masing berisi RM1 juta dan jumlah yang diterima daripada Zarul Ahmad berjumlah RM4 juta,"katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Mei ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel