Banduan didakwa beri rasuah RM3,700 kepada sarjan untuk lepaskan diri

Tarikh: 20/02/2025
img

JOHOR BAHRU: Seorang banduan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah lebih RM3,000 kepada seorang sarjan polis di Segamat pada tahun lalu.

Tertuduh, Samsuri Arijan, 48, yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan kes dadah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi suapan berjumlah RM3,700 kepada seorang sarjan polis sebagai dorongan untuk melepaskan dirinya yang ditahan kerana memiliki dadah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, pada jam 6.55 petang 14 Oktober 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Faizal Kamaruzaman, tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh sedang berdepan hukuman penjara dua tahun berserta tiga sebatan di Penjara Kluang sejak 6 Februari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh sebelum ini dijatuhkan hukuman atas empat pertuduhan bersabit jenayah dadah mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.



MACC FM
My Anti-Corruption Channel