PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, hari ini membenarkan Badan Peguam Malaysia mencelah dalam rayuan seorang peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung notis dikeluarkan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata fungsi Badan Peguam sebagai badan mengawal selia profesion guaman meletakkan tanggungjawab ke atasnya untuk melindungi dan memelihara kepentingan profesion berkenaan dan tugas terbabit sudah memadai untuk memberikan kepadanya kepentingan dalam isu yang akan diputuskan dalam rayuan itu.
Panel hakim itu turut terdiri daripada Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Aliza Sulaiman.
Mahajoth Singh membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar dua notis dikeluarkan kepadanya berhubung anak guamnya, ahli perniagaan Datuk Albert Tei.
Mahkamah Rayuan menetapkan 3 November depan untuk mendengar rayuan Mahajoth.
Mahajoth dilantik sebagai peguam kepada Tei yang ditahan SPRM pada 28 November 2025.
Dalam permohonan semakan kehakimannya, beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis "Hadir untuk Diperiksa" serta satu lagi notis yang mengarahkannya mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan Tei berhubung siasatan SPRM.
Beliau mendakwa perintah itu bercanggah dengan perlindungan berkanun terhadap komunikasi yang tertakluk kepada keistimewaan antara peguam dan anak guam sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.
Pada 29 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan kebenaran Mahajoth, dengan memutuskan bahawa notis dikeluarkan itu adalah sebahagian daripada proses siasatan SPRM dan berada dalam skop kuasa berkanunnya.
Pada prosiding hari ini, Peguam Persekutuan V Krishna Priya yang mewakili Peguam Negara membantah permohonan Badan Peguam untuk mencelah, dengan alasan bahawa badan itu tidak mempunyai kepentingan dalam perkara yang menjadi subjek rayuan terbabit.
Bagaimanapun, peguam bagi Badan Peguam, Anand Raj, yang juga Presiden Badan Peguam Malaysia, berhujah bahawa badan berkenaan wajar dibenarkan mencelah kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu akan memberi kesan kepada profesion guaman.
Beliau turut berkata bahawa Badan Peguam, sebagai badan pengawal selia, bukanlah pihak yang mencampuri urusan tanpa kepentingan, sebaliknya mempunyai peranan untuk dimainkan.
Peguam Amanda Sonia Mathew yang mewakili Mahajoth menyokong permohonan Badan Peguam itu.
Sumber : Berita Harian Online