KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bangladesh sedang menyiasat satu sindiket yang didakwa membabitkan empat bekas ahli parlimen kerajaan Liga Awami atas dakwaan menggelapkan Tk24,000 crore dengan alasan menghantar pekerja ke Malaysia.
NST melaporkan, sindiket itu, dilapor membabitkan bekas menteri kewangan, AHM Mustafa Kamal, Leftenan Jeneral (B) Masud Uddin Chowdhury dan bekas Ahli Parlimen, Nizam Uddin Hazari serta Benazir Ahmed, didakwa menghantar kira-kira 450,000 pekerja ke luar negara dalam tempoh hanya 18 bulan dan ramai daripada pekerja itu tidak dapat memperoleh pekerjaan dan pulang ke negara mereka dengan tangan kosong.
Suruhanjaya itu, sebelum ini membentuk pasukan penyiasat dengan tiga anggota, diketuai timbalan pengarahnya, Nurul Huda untuk menyiasat aset dan aktiviti haram mereka yang terbabit, lapor 'Dhaka Tribune.'
Sumber mendakwa, sindiket itu beroperasi dengan bantuan pegawai kanan kerajaan Bangladesh dan Malaysia.
Walaupun kos yang ditetapkan kerajaan adalah Tk79,000, pekerja dikenakan bayaran purata Tk544,000 untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
Sindiket itu didakwa mengumpul Tk24,000 crore melalui caj berlebihan, manakala Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh didakwa gagal campur tangan, sebaliknya, memudahkan operasi sindiket itu.
Apabila pasaran buruh Malaysia dibuka semula pada Julai 2022, pemilihan agensi pengambilan pekerja diserahkan kepada Malaysia, dengan hanya 25 daripada 1,520 agensi Bangladesh dipilih, didakwa tanpa dasar yang jelas.
Agensi yang terpilih itu dilaporkan dikaitkan dengan menteri kewangan ketika itu, Mustafa, keluarganya, bekas ahli parlimen lain dan pemimpin Liga Awami.
Pekerja berdepan kesukaran yang ketara di Malaysia, dengan ramai yang tidak dapat memperoleh pekerjaan dan pulang ke tanah air dalam keadaan berhutang.
Syarikat Nizam Uddin, Snigdha Overseas Ltd, dilaporkan hanya menghantar 100 pekerja ke luar negara dalam tempoh tiga setengah tahun pertama selepas memperoleh lesennya. Bagaimanapun, syarikat itu menghantar kira-kira 8,000 pekerja ke Malaysia dalam tempoh hanya 18 bulan selepas pasaran dibuka semula.
Peningkatan yang sama dilihat dalam agensi yang dikaitkan dengan bekas ahli parlimen lain dan keluarga Mustafa, dengan keuntungan besar diperoleh dengan mengenakan pekerja bayaran yang berlebihan.
Agensi tertinggi yang menghantar pekerja ke Malaysia, 5M International Ltd, yang diuruskan Chowdhury, didakwa menghantar 8,592 pekerja selepas pasaran dibuka semula, peningkatan ketara daripada 2,500 pekerja yang sebelum ini dihantar ke Asia Barat.
Ahmed International, agensi yang dimiliki Benazir menduduki tempat kelima dalam menghantar pekerja ke Malaysia. Aktiviti agensi itu melonjak selepas didakwa menyertai sindiket terbabit, dengan 7,849 pekerja dihantar ke Malaysia, meningkat daripada hanya 238 pekerja sebelum pasaran dibuka semula.
Bekas setiausaha agung Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh, Ruhul Amin Swapan didakwa memainkan peranan penting dalam sindiket itu, dilaporkan memilih 69 daripada 100 agensi terbabit.
Agensinya, Catharsis International, menghantar 7,102 pekerja ke Malaysia. Agensi terkenal lain, termasuk BM Travels Ltd dan Anannya Apurba, kedua-duanya dikaitkan dengan tokoh pro Liga Awami.
Sumber: Berita HarianĀ