Azeez Rahim mengaku tidak salah guna kedudukan untuk jawatan pengerusi Putrajaya Perdana

Tarikh: 09/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000, 12 tahun lalu.

Abdul Azeez, 60, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju ungu lokap polis dengan tangan bergari di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan Pengerusi syarikat Putrajaya Perdana Berhad dengan dengan remunerasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.

Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Tan Sri Ismee Ismail untuk mencadangkan beliau sebagai wakil TH di dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad dan meyakinkan Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309), untuk bersetuju meluluskan cadangan melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam Putrajaya Perdana Berhad, yang tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini, pada 25 Ogos 2014.

Bekas Ahli Parlimen Baling itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel