Anggota polis tak mengaku terima rasuah RM1,000
Johor Bahru: Anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 membabitkan kes kemalangan yang disiasatnya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Sarjan Wan Shazrul Wan Shamsuddin, 47, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada seorang lelaki berusia 30 tahun sebagai dorongan menyerahkan dokumen yang bersabit dengan kes kemalangan jalan raya disiasatnya.
Tertuduh yang juga Penolong Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Ismail, Mersing kira-kira jam 4 petang, 13 Disember 2023.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D'Aneez Mohd Shukari memberitahu mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah RM10,000 jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K Bharathi yang mewakili tertuduh memberitahu bahawa tertuduh menanggung seorang isteri tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Johor dan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.