Albert Tei dipanggil ke Bukit Aman berhubung siasatan video tular

Tarikh: 29/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Albert Tei dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan fitnah, dikaitkan dengan satu video tular yang baru-baru ini membawa kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas setiausaha politik kanan.

Bercakap kepada media sebelum memasuki ibu pejabat polis persekutuan hari ini, Tei mengesahkan beliau sedang disiasat berhubung rakaman yang memaparkan dirinya bersama Sofia Rini Buyong.

"Saya akan beri kerjasama tetapi saya tidak akan berundur daripada apa yang saya anggap sebagai perjuangan saya untuk keadilan," katanya kepada pemberita.

Beliau diiringi oleh pasukan peguamnya, yang terdiri daripada Zaid Malek, Mahajoth Singh dan N Surendran.

Surendran berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah.

Siasatan itu susulan beberapa siri tuduhan awam yang dibuat Tei terhadap tokoh politik berprofil tinggi dan agensi penguatkuasaan.

Pada sidang media itu, Tei turut mempersoalkan mengapa perakam CCTV di rumahnya, yang dirampas dalam satu serbuan sebelum ini, masih belum dipulangkan selepas lebih dua bulan.

"Saya mahu pihak berkuasa mendedahkan rakaman itu kepada umum bagi menjelaskan dakwaan berkaitan kejadian pecah masuk di kediaman saya sebelum ini," katanya.

Tei turut mengulangi dakwaan mengenai satu "skandal rasuah Sabah" yang didakwa membabitkan lesen penerokaan mineral, sambil mempersoalkan kelajuan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga mendakwa bahawa rakaman kenyataannya kepada suruhanjaya itu yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, telah dibocorkan.


Sumber : BH Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel