KUALA LUMPUR: Prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan ke 27 Ogos berikutan beliau mengalami masalah kesihatan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan permohonan peguam bela Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad untuk menangguhkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan hari ini.
Amer Hamzah sebelum itu memberitahu mahkamah, Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan semalam ketika diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan kemudian digegaskan ke IJN.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu sedang mendapatkan rawatan di institut Jantung Negara (IJN) dan akan menjalani satu prosedur berkait masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) petang ini.
"Kami sahkan ada pertuduhan difailkan terhadap anak guam kami, tetapi kami ingin maklumkan mengenai status beliau.
"Semalam semasa berada di SPRM untuk proses rakaman percakapan, beliau memang ada mengalami isu kesihatan dan kemudian dimaklumkan kepada pegawai SPRM. Daripada situ, beliau digegaskan ke IJN.
Prosedur pasang perentak jantung
"Apabila dimasukkan ke wad, doktor bertugas mengesahkan anak guam kami ada masalah kesihatan, kemungkinan arrhythmia. Pagi ini semasa kami (peguam) dalam perjalanan ke mahkamah, kami diberitahu bahawa beliau akan menjalani prosedur memasukkan perentak jantung jam 2 petang ini.
"Atas situasi ini, kami memohon satu tarikh singkat bagi membolehkan pertuduhan dibacakan dan pengakuan (tertuduh) direkodkan di mahkamah," katanya.
Suzana kemudian menetapkan pendakwaan dijalankan di mahkamah pada 27 Ogos.
"Oleh kerana tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan tiga minggu lagi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan pihaknya telah memfailkan pertuduhan serta lampiran di bawah kandungan 1 terhadap Ismail Sabri.
"Bagaimanapun, pada hari ini orang yang akan dituduh tidak dapat hadir dan peguam akan berikan alasan.
"Tertuduh berada di bawah jaminan SPRM tetapi disebabkan masalah kesihatan, tertuduh tidak dapat hadir.
"Atas alasan kemanusiaan, adalah tidak adil untuk membantah permohonan (untuk menangguhkan pendakwaan)," katanya.
Pendakwaan terhadap Ismail Sabri dipercayai berhubung perisytiharan harta, di mana sebelum ini beliau dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat' hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.
sumber : Berita Harian Online