KUALA LUMPUR: Mayu Global Group Bhd mengumumkan pihaknya sedang mendapatkan nasihat perundangan mengenai perintah pembekuan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan akaun bank anak syarikatnya Sunrise Manner Sdn Bhd (SMSB).
Akaun bank SMSB telah dibekukan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Di bawah undang-undang ini, pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk membekukan aset sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kesalahan yang disyaki.
Menurut pengeluar produk keluli itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pihaknya akan melaksanakan semua tindakan perlu untuk menjaga kepentingan syarikat dan pemegang saham.
"Pengurusan komited untuk melaksanakan penambahbaikan yang disyorkan termasuk memperhalusi dasar dalaman, meningkatkan mekanisme pemantauan dan memastikan penjajaran yang lebih kukuh dengan amalan tadbir urus korporat yang baik," kata Mayu Global.
Pada Isnin, Pengarah Mayu Global, Tang Tiam Hok, dilaporkan dipanggil oleh SPRM pada 19 September dan 23 September bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Sumber:Berita Harian Online