KUALA LUMPUR: Ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Fakhrudin Abd Karim sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, dengan 17 tuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang berjumlah lebih RM17.9 juta.
Semua pertuduhan pengubahan wang haram itu adalah, antaranya dengan membayar rumah banglo dan kad kredit miliknya serta tujuh kereta mewah jenis Porsche, Mercedes Benz, Range Rover dan Lexus berjumlah hampir RM18 juta di antara tahun 2021 hingga 2025.
Semua pertuduhan pengubahan wang haram itu adalah, antaranya dengan membayar rumah banglo dan enam kereta mewah Porsche serta Lexus berjumlah hampir RM18 juta antara tahun 2021 hingga 2025.
Fakhrudin, 57, yang memakai jaket biru gelap, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan sebaik ia dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.
'Faham, …mohon bicara," katanya.
Bagi tuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang itu hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun MAG Builders Sdn Bhd.
Ia adalah bagi pembayaran 'Proposed Design For New Bungalow' di Bandar Kundang, Gombak, rumah kediaman miliknya.
Dia juga didakwa dengan tiga tuduhan sama iaitu memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.66 juta daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun kad kredit miliknya untuk pembayaran kad kredit berkenaan.
Fakhrudin juga didakwa dengan 10 tuduhan pengubahan wang haram, iaitu dengan memindahkan wang berjumlah RM4.7 juta hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada dua akaun syarikat iaitu Wiranusa Corporation Sdn Bhd dan Promosi Mantap Sdn Bhd.
Ia untuk pembayaran kenderaan mewah jenis Mercedes Benz AMG S63, Range Rover SVA, Porsche 911 Carrera S S-A, Porsche 911 Turbo S S-A dan Toyota Alphard.
Bagi pembayaran kenderaan jenis Lexus RX300, ia dibuat melalui sekeping cek dari akaun bank Fakhrudin ke akaun Aspirasi Utara Sdn Bhd.
Kesemua kesalahan itu didakwa di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail antara 6 Jan 2021 hingga 21 April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
158 pertuduhan di Shah Alam
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, tertuduh sebelum ini didakwa dengan 158 tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 16 Jun lalu.
Beliau berkata, pendakwaan memohon kes hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut dan kemudian dibicara bersama di mahkamah itu.
Katanya, sebutan kes itu ditetapkan pada 7 Ogos ini.
Berhubung dengan permohonan jaminan pula, Akram memohon supaya mahkamah mengguna pakai jaminan RM500,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini berserta syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan dia diarahkan untuk tidak mengganggu saksi.
Peguam bela, Datuk N Sivanathan yang mewakili tertuduh, tidak membantah permohonan pendakwaan.
Azrul kemudian membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan sebelum ini serta syarat tambahan selain menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan kes di Mahkamah Shah Alam.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Fakhrudin mengaku tidak bersalah terhadap 158 tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20 antara 2021 hingga 2025.
Mahkamah itu kemudian menetapkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sumber : Berita
Harian Online