KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang baharu, hari ini.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Surat cara pelantikan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bangunan Parlimen hari ini.
Adnan yang juga lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) akan mengetuai panel jawatankuasa khas yang dianggotai oleh tujuh ahli, merangkumi wakil daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
JKMR berfungsi sebagai badan penasihat tertinggi kepada Perdana Menteri dalam meneliti pelbagai aspek membabitkan isu rasuah serta memantau perjalanan fungsi penguatkuasaan domestik.
Selain bertindak meneliti Laporan Tahunan SPRM, panel tujuh anggota ini turut bertanggungjawab memeriksa ulasan dan syor yang dikemukakan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) demi memastikan ketelusan dan akuntabiliti suruhanjaya berkenaan.
Laporan berkala daripada jawatankuasa khas ini seterusnya akan dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan Parlimen bagi memperkukuh tadbir urus sedia ada seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.
Ahli JKMR lain ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli yang dilantik semula bagi penggal kedua dan merangkap Timbalan Pengerusi JKmR, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Sementara itu, Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Datuk Dr Mohd Kassim Noor Mohamed dilantik sebagai Timbalan Pengerusi LPPR.
JKMR dan LPPR adalah dua daripada lima badan pemantau bebas yang diwujudkan mengikut Akta 694, untuk memastikan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM.
JKMR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara, memeriksa Laporan Tahunan SPRM, memeriksa ulasan LPPR mengenai perjalanan oleh Suruhanjaya akan fungsinya di bawah Akta 694 dan untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan Suruhanjaya dan ulasan LPPR.
LPPR berperanan menasihatkan apa-apa aspek masalah rasuah, dasar dan strategi SPRM dalam usaha untuk membanteras rasuah, menerima, meneliti serta mengendors cadangan daripada SPRM ke arah perjalanan cekap dan berkesan Suruhanjaya.
Sumber : Berita
Harian Online