73 individu ditahan SPRM terbabit pemalsuan tuntutan RM9 juta bagi insentif Daya Kerjaya 2.0

Tarikh: 12/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Seramai 73 individu yang terbabit dalam kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejak kelmarin.

Difahamkan, mereka terbabit berusia 20-an hingga 70-an itu adalah ejen dan pemilik syarikat yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

Semua mereka iaitu 48 lelaki dan 25 wanita ditahan SPRM di seluruh negara, kecuali Perlis.

Sumber berkata, semua suspek dipercayai membuat tuntutan palsu membabitkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan.

"Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2024 hingga 2025 yang membuat tuntutan palsu membabitkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan bagi setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber berkata, sejak Selasa lalu, SPRM melalui Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan negeri bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menjalankan operasi bersepadu.

Katanya, melalui operasi itu, 90 lokasi digeledah membabitkan premis syarikat dan menahan 83 individu iaitu enam ejen dan 77 pemilik syarikat.

"Risikan dijalankan sejak November tahun lalu itu menyasarkan 143 premis syarikat di seluruh negara dengan 320 individu yang dikaitkan dengan tuntutan itu.

"Melalui operasi itu, SPRM merakam 104 percakapan membabitkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.

"Pada operasi ini juga, SPRM turut membekukan 25 akaun bank syarikat dengan jumlah kira-kira RM390,000," katanya.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel