6 pemilik, pengurus syarikat didakwa 13 pertuduhan buat tuntutan palsu PERKESO

Tarikh: 05/08/2026
img

KOTA BHARU: Lima pemilik dan seorang pengurus syarikat termasuk dua beranak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membabitkan 13 pertuduhan membuat tuntutan palsu Insentif Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2024.

Tertuduh, Saipuddin Mohamad, 47; Nur Shahalwani Ab Hamid, 37; Nik Muhammad Afiq Rifqi Nik Araman, 29; dan bapanya, Nik Araman Yusoff, 54; Eadzelin Azmi, 41, dan Mohamad Faiz Harith Hazman,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Saipuddin berdepan enam pertuduhan dan Nur Shahalwani empat pertuduhan, manakala empat tertuduh termasuk dua beranak masing-masing didakwa satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai pemilik syarikat masing-masing memberi dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen PERKESO yang mempunyai penyataan palsy dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Kota Bharu antara 18 Mei 2024 hingga 9 Oktober 2024.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Asmah Che Wan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam kecuali Nur Shahalwani.

Terdahulu, Mariah dan Asmah memohon setiap tertuduh dikenakan jaminan RM 15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain tidak boleh mengganggu saksi.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan antara RM8,000 hingga RM14,000 kepada setiap tertuduh selain menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.


Sumber :  Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel