PUTRAJAYA: Enam pegawai Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertekad memberi perkhidmatan terbaik dan bertaraf antarabangsa kepada petugas media dan orang awam, susulan pengiktirafan daripada Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), hari ini.
Mereka menerima Anugerah Akreditasi dalam Perhubungan Awam (APR) 2026 susulan kompetensi dan profesionalisme masing-masing dalam bidang komunikasi strategik.
Selain Pengarah BKS, Hisyam Mohd Yusoff, lima lagi ialah Timbalan Pengarah, Badrila Jamlus; Ketua Cawangan Multimedia, Azrai Mohammad serta pegawai lain iaitu Mohd Helmi Faiz Ali, T Rama T Maheswaran dan R Ganesh.
Hisyam berkata, pencapaian berkenaan menjadi pengiktirafan terhadap peranan dan kemahiran dimiliki BKS khususnya serta SPRM secara keseluruhan.
"Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus menyumbang bukan sahaja kepada SPRM, malah pembangunan bidang perhubungan awam negara.
"Pengiktirafan ini membawa tanggungjawab lebih besar kepada kami untuk berkongsi kepakaran, pengalaman dan pengetahuan dengan masyarakat khususnya pengamal media yang sentiasa memberi sokongan kepada SPRM.
"Cabaran yang ada hari ini adalah untuk mendepani perubahan landskap komunikasi, khususnya perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), tanpa mengetepikan aspek integriti, kredibiliti serta etika profesional dalam usaha menyebarluaskan agenda antirasuah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad, berkata sejak penubuhannya pada 1962, IPRM terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh profesion perhubungan awam di negara ini.
"Kerjaya dalam bidang komunikasi akan terus relevan, khususnya dalam era AI, meskipun profesion itu berdepan cabaran baharu susulan perkembangan teknologi.
"Komunikasi profesional masih memerlukan sentuhan manusia, terutama dalam menguruskan komunikasi strategik dan media sosial secara lebih bermakna, beretika serta berkesan," katanya.
Sementara itu, Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman, berkata buat julung kalinya, semua penerima APR IPRM akan diberi pengiktirafan untuk mengendalikan latihan atau bimbingan oleh institut perhubungan awam di beberapa negara ASEAN, termasuk Indonesia, Singapura dan Filipina.
"Pengiktirafan itu diharap dapat meningkatkan standard profesionalisme, memperkukuh kepakaran komunikasi strategik serta mengangkat industri perhubungan awam Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"Pada tahun ini, 37 permohonan diterima daripada pelbagai pihak mewakili agensi kerajaan, universiti, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Daripada jumlah itu, 34 berjaya lulus selepas penilaian akhir yang membabitkan temu bual bersama panel pengamal kanan industri," katanya.
Sumber; Berita Harian Online