4 dekad di SPRM: Azam Baki akui ramai musuh, kurang kawan

Tarikh: 11/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang bakal menamatkan perkhidmatan esok mendedahkan beliau tidak pernah memilih jalan selamat sepanjang kerjaya, sekali gus menyebabkan musuhnya bertambah dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, prinsipnya sejak berkhidmat selama empat dekad menyebabkan beliau tidak mempunyai ramai rakan kerana baginya langkah selamat seperti tidak melakukan apa-apa.

"Saya akui tidak mempunyai kawan-kawan sejak saya berkhidmat dalam BPR (Badan Pencegah Rasuah), seterusnya SPRM malah bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membuatkan saya mempunyai lebih ramai musuh.

"Ketika berkhidmat saya cenderung untuk tidak melakukan apa-apa yang selamat kerana merasakan untuk menjadi pemimpin sedemikian, ia seperti tidak melakukan apa-apa," katanya baru-baru ini.

Azam berkata, prinsipnya sejak sekian lama itu dibuktikan dengan tindakan yang dilakukan dalam kes-kes berprofil tinggi, khususnya membabitkan dua bekas perdana menteri.

Beliau dipercayai merujuk kepada pendakwaan rasuah ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin, 78, yang ketika memegang jawatan Perdana Menteri berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat serta seorang individu

Selain itu, Datuk Seri Najib Razak juga didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Azam berkata, ketegasannya yang dilaksanakan tetap menerima kritikan.

"Dalam sejarah di Malaysia, SPRM menyiasat bekas perdana menteri dan ada di antara mereka masih berkhidmat.

"Ramai yang tidak berpuas hati dengan pendekatan siasatan yang dijalankan kerana prinsip saya jelas, siapa yang bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan," katanya.

Azam berkata, siasatan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada aduan awam, sebaliknya memerlukan pengumpulan risikan, rangkaian maklumat dalaman serta kerjasama strategik antara agensi.

Beliau berkata, siasatan rasuah selalunya lebih sukar berbanding jenayah konvensional kerana biasanya membabitkan kumpulan rapat yang saling melindungi.

"Jenayah rasuah sering berlaku dalam kumpulan kecil yang melindungi antara satu sama lain, menyebabkan ia lebih sukar dikesan, berbanding jenayah seperti rompakan atau kecurian.

"Ada kes yang berlarutan bertahun-tahun tanpa dapat dikesan secara langsung," katanya.

Beliau turut menggesa kerjasama lebih meluas membabitkan profesional daripada pelbagai bidang termasuk perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh siasatan serta meningkatkan keupayaan analisis.

"Setiap latar belakang membawa perspektif dan kepakaran berbeza yang boleh membantu siasatan menjadi lebih berkesan," katanya.

Azam mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya.

Azam dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun, iaitu pada Mei 2023, Mei 2024 dan Mei 2025

Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, Azam memulakan karier bersama BPR pada 1984.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Banteras jenayah rasuah profil tinggi

Sepanjang kariernya, beliau menjadi penggerak dan perancang utama bagi membanteras beberapa siri jenayah rasuah berprofil tinggi.

Menyentuh mengenai tempoh perkhidmatannya Azam berkata, beliau sudah bersedia untuk meninggalkan perkhidmatan awam kerana sudah tiga kali menerima lanjutan kontrak dan ia sama sekali bukan keputusannya.

"Ada pihak yang cuba menghalang lanjutan itu, tetapi ia bukan keputusan saya untuk menentukannya.

"Keputusan dibuat oleh pihak berkuasa yang sewajarnya dan saya akhirnya perlu bersyukur atas peluang yang diberikan," katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa Rabu ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel