3 wanita dituduh berkait rasuah lulus ujian berkomputer lesen memandu

Tarikh: 16/05/2025
img

JOHOR BAHRU: Pemilik sebuah agensi mencari calon pelajar bagi institusi latihan memandu bersama dua bekas keraninya hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan rasuah bagi meluluskan ujian berkomputer untuk mendapatkan lesen memandu.

Siti Norafidah Othman, 45, didakwa atas 53 tuduhan bersubahat menerima rasuah daripada dua keraninya ketika kejadian pada 2023 itu, Nuratika Natasha Mohd Salleh, 25 dan Nurieta Ahmad Pale, 36, yang masing-masing berdepan 29 dan 24 tuduhan menerima rasuah.

Mereka dihadapkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Nuratika Natasha dituduh menerima rasuah RM48,741 menerusi 29 transaksi atas talian daripada seorang wanita berusia 26 tahun sebagai upah untuk membantu meluluskan ujian bahagian satu berkomputer calon-calon ujian lesen memandu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Niaga 1, Kota Tinggi, bermula 1 Ogos 2023 hingga 15 Oktober tahun sama. Nurieta pula didakwa menerima suapan RM21,172 menerusi 24 transaksi atas talian daripada Nuratika Natasha sebagai upah untuk membantu meluluskan ujian bahagian satu berkomputer calon-calon ujian lesen memandu. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Bandar Penawar, Kota Tinggi, bermula 1 Ogos 2023 hingga 21 Oktober tahun sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, manakala Nuratika Natasha dan Nurieta diwakili peguam, Syufri A Samad dan Naufal Amran.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM7,000, masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh bersama syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes dilupuskan.

Siti Norafidah berdepan 53 tuduh bersubahat menerima rasuah bagi tujuan sama daripada Nuratika Natasha dan Nurieta dengan nilai keseluruhan RM69,913 di dua bank berbeza di Bandar Penawar dan Felda Air Tawar di Kota Tinggi pada masa sama. Dia yang diwakili peguam, Abdul Rahim Ali, dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1).

Ahmad Kamal Ariffin menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes dilupuskan.

Mahkamah menetapkan 26 Jun depan untuk serahan dokumen.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel