3 pegawai penguat kuasa antara 5 ditahan, SPRM bongkar sindiket daftar pekerja asing secara tidak sah melalui Program RTK

Tarikh: 25/06/2025
img

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai penguat kuasa ialah antara lima individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Putih, semalam.

Operasi itu membongkar kegiatan sindiket pendaftaran pekerja warga asing secara tidak sah melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Dua lagi individu yang diberkas dalam operasi itu ialah seorang pengurus syarikat dan seorang warga asing.

Sumber berkata, kelima-lima suspek membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 tahun hingga 40-an itu ditahan antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang di sekitar Putrajaya serta Kelantan.

"Kesemua suspek itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2020 hingga 2021.

"Hasil siasatan awal mendapati tiga pegawai penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah antara RM50,000 hingga RM60,000 bagi setiap permohonan pendaftaran pekerja asing yang dilakukan," katanya.

Katanya, operasi khas itu dijalankan Bahagian Perisikan SPRM untuk membongkar kegiatan sindiket yang disyaki membabitkan beberapa pegawai Imigresen bersekongkol dengan ejen warga asing dalam proses pendaftaran pekerja asing secara bertentangan dengan prosedur ditetapkan.

"Fokus utama operasi itu ialah mengekang amalan rasuah dalam kalangan pegawai awam dan melumpuhkan rangkaian sindiket yang terbabit," katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi tadi.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber BH

MACC FM
My Anti-Corruption Channel