2 staf JPN Semporna dipenjara 12 bulan, denda RM10,000 kes rasuah

Tarikh: 16/05/2025
img

TAWAU: Dua Pembantu Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas bersalah atas pertuduhan menerima rasuah, enam tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Jason Juga terhadap Yuliana Saat, 50 dan Azmi Amir Lunji, 48, susulan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di akhir kes pembelaan.

Jason dalam penghakimannya berkata, kedua-dua tertuduh gagal menyangkal anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 berdasarkan keseimbangan kebarangkalian terhadap pertuduhan pindaan itu.

"Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan pindaan tersebut melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh

"Bagaimanapun setelah mendengar rayuan bagi pihak kedua-dua tertuduh dan hujahan balas daripada pihak pendakwaan selain menimbangkan fakta kes, jenis kesalahan dilakukan, serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda RM10,000.

Perbuatan dilakukan sebagai dorongan untuk menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar wanita terbabit yang berusia 12 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh, manakala Yuliana diwakili Peguam Datu Baginda Datu Laja, dan Azmi diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu notis permohonan rayuan kedua-kedua tertuduh difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan hari ini.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dikehendaki menjelaskan bayaran denda hari ini dan mereka membayarnya.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel