KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu bagi membantu siasatan sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan yang disyaki turut merasuah pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Perak.
Kedua-dua individu yang terdiri daripada pemilik syarikat dan broker kereta direman tujuh hari hingga 21 September ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Evangelin Simon Silvaraj selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Sivil (2) Ipoh, Perak, pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan jam 4 petang semalam, dan 9 malam tadi, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Tahanan reman itu susulan pembongkaran SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan bagi menukar status hak milik.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian Online