2 bekas kakitangan Teresa Kok ditahan SPRM

Tarikh: 07/03/2025
img

Kuala Lumpur: Dua bekas kakitangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung satu ucapan yang disampaikannya di Parlimen tahun lalu.

Teresa berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu bahawa bekas pembantunya, Edmund Teoh Keng Yaik dan Ng Yoot Kuen, dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Teoh ditahan reman sehingga Ahad.

"Ucapan berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk memastikan ketelusan kerajaan dan diterbitkan sepenuhnya di platform media sosial saya sebagai rekod umum dan untuk tujuan ketelusan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Teresa membangkitkan isu berkaitan perolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di Parlimen pada 14 November 2024.

Teresa menegaskan bahawa kenyataannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau jabatan secara khusus, sebaliknya bertujuan untuk mengetengahkan isu ketidakseimbangan dalam proses perolehan papan pintar.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau pengetahuan mengenai keputusan SPRM untuk menahan Teoh dan menegaskan bahawa perkara itu berada di luar kawalannya.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa kesal apabila dipersalahkan oleh beberapa ahli partinya serta keluarga bekas kakitangannya berhubung tindakan SPRM itu.

"Saya ingin tegaskan dengan jelas bahawa SPRM adalah badan bebas dan siasatan itu dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

"Keputusan dan tindakan SPRM adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa mereka dan tiada sesiapa, termasuk saya sendiri, mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh terhadap mereka," katanya.

Teresa turut menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi tidak berasas atau menimbulkan tuduhan tanpa bukti serta membiarkan proses siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan.

"Adalah penting untuk kita menghormati kedaulatan undang-undang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan adil serta menyeluruh," katanya.


Sumber My Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel